Isnin, 15 Oktober 2012

Penjenayah cedera ditembak


PUCHONG - Drama seorang penjenayah melarikan diri daripada kepungan polis berakhir apabila suspek yang dipercayai penagih dadah cedera selepas terkena empat das tembakan dekat susur keluar Lebuh Raya Shah Alam dari Puchong ke Subang Jaya dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 2 pagi itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah memberitahu, sepasukan polis menjalankan operasi memburu suspek kerana disyaki terlibat dalam satu kes jenayah di Puchong.

"Suspek kemudian berjaya dikesan di kawasan Taman Mawar, Kinrara. Apabila pasukan polis menghalang kereta yang dipandu suspek untuk pemeriksaan, dia mengamuk dan merempuh kereta dan motosikal polis.

"Pihak polis kemudian melepaskan lapan das tembakan ke arah kereta Proton Perdana V6 yang dipandu suspek dan mengejar sejauh dua kilometer," katanya ketika dihubungi.

Katanya, satu das tembakan terkena pada tayar kereta suspek menyebabkan suspek terpaksa memberhentikan kenderaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...