Khamis, 4 Oktober 2012

PREMIS SPA DIPECAH MASUK


JEMPOL - Seorang pemilik spa di pusat perniagaan Kiara, Bahau dekat sini mengalami kerugian RM18,000 berikutan premisnya dipecah masuk, awal pagi Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Hamzah Alias berkata, ketika kejadian yang berlaku sekitar jam 3 pagi itu, mangsa tiada di premisnya.

Menurutnya, insiden itu disedari seorang pekerja kedai terbabit yang ketika itu baru pulang ke premis berkenaan selepas selesai keluar minum bersama rakannya.

"Pekerja berkenaan sememangnya tidur dalam premis terbabit namun ketika kejadian dia keluar minum.

"Setelah pulang, pekerja berusia 30-an itu terkejut melihat ada kesan pecah masuk di premis, selain pintu terbuka," katanya ketika mengesahkan kejadian berkenaan.

Hamzah berkata, pekerja terbabit terus memeriksa keadaan kedai dan mendapati wang tunai sebanyak RM18,000 yang disimpan dalam laci dekat sebuah bilik lesap.

“Lelaki terbabit bergegas memaklumkan kejadian itu kepada pemilik premis sebelum membuat laporan polis pada hari sama kira-kira jam 11.55 pagi.

"Pihak polis bagaimanapun menahan reman pekerja kedai terbabit  bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan pada hari sama kira-kira jam 3.50 petang," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan ke balai polis berhampiran atau menghubungi Inspektor Salawati Abdullah menerusi talian 06-4582222.

“Pihak polis juga meminta penjaga kedai sekitar kawasan Jempol tidak menyimpan jumlah wang yang banyak hasil perniagaan di premis.

“Ia bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berlaku lagi,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...