Khamis, 4 Oktober 2012

Samseng serang kontraktor dakwa lupuskan bukti kemalangan


Samseng serang kontraktor dakwa lupuskan bukti kemalangan
JOHOR BAHRU - Sekumpulan lelaki bertindak ganas memecahkan cermin kenderaan milik kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja baik pulih jalan di Jalan Permas 2, di sini, kelmarin.

Kumpulan terbabit bertindak sedemikian selepas berang apabila diberitahu rakan mereka meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dalam kejadian kemalangan di lokasi sama, awal pagi kelmarin.

Sebelum itu, keadaan seakan menjadi tidak terkawal apabila kumpulan terbabit mendakwa rakan mereka, Anbalagan Jaya, 40-an, maut kerana dilanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki dalam kejadian jam 12.15 pagi.

Bagaimanapun kekecohan itu berjaya dileraikan Ketua Kampung Senibong, Mohd Said Budin bersama anggota dari Balai Polis Permas.

Namun suasana kembali tegang apabila kumpulan bermotosikal itu kembali ke lokasi dan mengganggu kerja-kerja baik pulih yang dilakukan, sehingga ada di antara daripada mereka sanggup memecahkan cermin lori kontraktor itu.

Mangsa, Zulkifli Samian, 44, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, dia bersama lima kontraktor lain yang sedang mengecat lintasan zebra didatangi lebih sepuluh lelaki yang kemudiannya memarahi dan memintanya memberhentikan semua kerja.

“Kami terkejut dengan tindakan kumpulan ini. Kami memaklumkan kepada mereka bahawa kami ditugaskan oleh pihak berkuasa tempatan untuk baiki jalan, namun mereka mengamuk kerana takut bahan bukti kemalangan akan lupus.

“Oleh kerana tidak berpuas hati, mereka terus memecahkan cermin lori kami, namun mujurlah tiada yang cedera,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.

Seorang saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, motosikal ditunggang oleh Anbalagan dari arah Bandar Permas Jaya hilang kawalan sebelum terperosok ke bawah kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.

“Mangsa terlebih dahulu melanggar bonggol jalan sebelum dilanggar sebuah kereta.

“Pada mulanya, kereta berkenaan tidak menyedari dia telah melanggar mangsa sehingga merasakan pergerakan kenderaannya tidak lancar seperti ada objek yang tersekat,” katanya.

Penunggang motosikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Mohd Said berkata, keadaan kawasan berkenaan tidak mempunyai lampu jalan selain permukaan jalan yang teruk merupakan antara faktor kemalangan kerap berlaku.

“Garisan lintasan zebra juga tidak nampak dan kita juga kesal kerana ketika kerja-kerja pembaikan rancak dijalankan di jalan ini, kontraktor pula diserang,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...