Ahad, 14 Oktober 2012

Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah akan dipinda


KUALA KANGSAR 13 Okt. - Kerajaan akan meminda Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah agar bon jaminan berkelakuan baik tidak boleh digunapakai untuk meringankan hukuman kesalahan merogol kanak-kanak di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berkata, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah bersetuju dengan perkara tersebut dan pindaan itu akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

"Saya menerima banyak aduan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti persatuan wanita yang menghantar memorandum menyatakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan hakim menggunakan Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah untuk kesalahan rogol gadis bawah umur.

"Pindaan ini dibuat demi kepentingan rakyat supaya tertuduh menerima hukuman sejajar dengan kesalahan yang dilakukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat di Dewan Terbuka Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khiu Min di sini hari ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...