Khamis, 8 November 2012

Dicekik ketika ambil telekung


Dicekik ketika ambil telekung
JERTIH - Seorang warga emas terkejut dan trauma apabila dia menjadi mangsa samun di hadapan rumahnya sendiri ketika dia ingin mengambil telekung di ampaian di Kampung Pulau Rimau, dekat Jertih, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa, Eshah Bakar, 67, dicekik seorang lelaki yang tiba-tiba muncul di bahagian luar dapur rumahnya sebelum menolak mangsa masuk ke dalam rumah.

Menurutnya, selepas azan subuh dia membuka pintu dapur untuk mengambil kain telekong di ampaian di luar pintu dapur.

“Sebaik makcik  keluar, tiba-tiba muncul lembaga yang memakai topeng mencekik leher dan menutup mulut makcik  sambil dia menolak makcik  masuk ke dalam rumah,” katanya.

Eshah berkata, lelaki yang berbadan agak gempal dan tinggi itu menolaknya hingga terlentang di atas tangga simen di bahagian dalam dapur rumah.

Menurutnya, lelaki yang tidak bercakap walau sepatah kata itu terus menekan lehernya sambil menutup mulut sambil penyamun tersebut menindih pahanya bagi memastikan dia tidak bangun.

“Saya menjerit sekuat hari sebanyak beberapa kali tetapi tidak mampu melawan penyamun itu yang jauh bertenaga.

“Biarpun begitu, saya bergelut dengan penyamun itu hampir 15 minit sebelum dia berjaya menarik gelang emas di tangan saya kemudian melarikan diri melalui pintu dapur,” katanya yang tidak mengalami kecederaan namun hampir sesak nafas ketika dicekik suspek.

Dia yang tinggal seorang diri bersyukur kerana tidak diapa-apakan suspek yang bertangan kosong itu namun dia kehilangan rantai menyebabkan Eshah kerugian kira-kira RM4,000.

Eshah dan penduduk kampung tidak menolak kemungkinan jenayah tersebut dilakukan penduduk tempatan.

Bagaimanapun, mereka menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dan menangkap individu terlibat selepas laporan dibuat di Balai Polis Jertih.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan sepasukan pegawai penyiasat telah pergi ke rumah Eshah.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...