Rabu, 7 November 2012

Pencuri larikan dokumen penting termasuk geran tanah


Abdul Rahman Muda,dan Khalijah Sudin
KAMPUNG TOK HAS- Pasangan warga emas di kampung ini terkejut apabila pencuri yang memecah masuk rumah mereka bukan sahaja mencuri televisyen tetapi turut melarikan satu fail mengandungi dokumen penting.
Pasangan terbabit, Abdul Rahman Muda, 83, dan Khalijah Sudin, 70, menyedari rumah mereka di depan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Puteri di sini dipecah masuk, kira-kira jam 7 pagi, semalam.
Menurutnya, pada hari kejadian, mereka berdua tidur di rumah anak mereka di kampung sama selepas meninggalkan kediaman kira-kira jam 7 petang, kelmarin.
“Petang semalam, saya mengalami sesak nafas dan dihantar ke hospital oleh anak. Selepas selesai menerima rawatan jam 1 pagi, kami terus pulang ke rumahnya.
"Keesokannya, apabila saya pulang ke rumah, saya dapati keadaan rumah berselerak," katanya.
Abdul Rahman berkata, pencuri dipercayai masuk melalui tingkap salah satu bilik tidur, sebelum menyelongkar semua bilik.
Menurutnya, pencuri melarikan seunit televisyen LCD yang baru dibelikan anaknya dan satu fail mengandungi dokumen penting termasuk geran tanah.
“Saya mengesyaki perbuatan ini dilakukan oleh mereka yang tahu pergerakan kami dan saya telah membuat laporan di Balai Polis Jertih,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...