Rabu, 7 November 2012

Polis buru suspek pecah rumah, larikan barangan bernilai RM130,000


TAWAU: Polis sedang giat memburu suspek yang melarikan barangan berharga bernilai RM130,000 selepas memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan di Taman Kalrose, Jalan Utara, Ahad lalu. 

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Ibrahim Chin, yang enggan mendedahkan identiti suspek termasuk bilangan terbabit, berkata polis sudah mengenal pasti mereka dan sedang menjejakinya. 

"Akibat kejadian itu, ahli perniagaan itu menganggarkan kerugian kira-kira RM130,000," katanya kepada pemberita, hari ini. 

Dalam kejadian antara jam 7 dan 10 malam itu, suspek turut melarikan peti besi yang mengandungi matawang asing dan tempatan serta barang kemas. 

Ketika kejadian, ahli perniagaan itu tidak ada di rumah manakala isterinya keluar menghantar anak mereka ke pusat tuisyen. 

Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata, seorang penjenayah tegar di Tawau, Nipar Vergiano, 36, yang mengaku terbabit dalam 24 kes pecah rumah di sini, dihadapkan ke mahkamah dan dihukum penjara 96 bulan atas dua kesalahan melakukan jenayah itu. 

Ibrahim berkata, Nipar, seorang rakyat tempatan dan pernah dihukum penjara tiga kali sebelum ini, turut dikenakan hukuman dua kali sebatan serta diperintah berkelakuan baik selama dua tahun. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...