Rabu, 7 November 2012

Lelaki larikan wang tunai RM3,000 dari pos mini Melaka


MELAKA: Sebuah pejabat pos mini di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini kerugian RM3,000 dalam satu rompakan, semalam. 

Dalam kejadian pada jam 2.25 petang itu, seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal memberhenti dan meletakkan kenderaannya secara melintang di hadapan pintu masuk pejabat pos berkenaan sebelum menuju ke kaunter. 

Lelaki yang memakai topi keledar dengan pelindung muka itu kemudian meminta lima keping setem bernilai RM10 daripada seorang pekerja wanita berusia 45 tahun di pejabat pos berkenaan. 

Mangsa yang enggan dikenali berkata, lelaki terbabit bertindak mengeluarkan sebatang besi apabila beliau meminta wang. 

"Lelaki itu kemudian mencampakkan sebuah beg uncang dan mengarahkan saya memasukkan wang ke dalam beg sebelum meninggalkan pejabat pos ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Mangsa yang bekerja selama enam tahun di pejabat pos mini itu berkata, ketika kejadian, hanya dia yang berada di pejabat pos mini itu. 

Katanya, dia terpaksa mengikut arahan lelaki terbabit apabila melihat penjenayah berkenaan memegang satu objek seperti pistol yang diletakkan di dalam jaketnya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...