Rabu, 21 November 2012

Diugut bunuh ketika disamun


JEMPOL- Bukan sahaja diugut bunuh, malahan seorang lelaki terpaksa akur dengan kehendak dua penjenayah yang menceroboh rumahnya berhampiran pekan Bahau, dekat sini kira-kira jam 5 pagi kelmarin.

Mangsa yang berumur sekitar 50-an juga hanya mampu melihat kereta jenis Perodua Alza miliknya yang diletakkan di hadapan rumahnya dilarikan suspek.

Ketua Polis daerah, Superintendan Hamzah Alias berkata, ketika kejadian mangsa yang tinggal seorang diri sedang bersembahyang di pekarangan rumahnya tanpa menyedari kehadiran dua lelaki berusia 30-an.

Menurutnya, mangsa mendakwa suspek masuk secara senyap melalui pintu pagar depan rumahnya lalu mendekati mangsa dengan bersenjatakan parang.

“Selepas itu mangsa diseret masuk ke dalam rumah namun mangsa cuba melawan tetapi gagal setelah ditumbuk oleh salah seorang suspek.

“Dalam keadaan ketakutan mangsa hanya mampu menuruti kehendak suspek yang turut mengugut mahu membunuhnya apabila dipaksa memberikan nombor pin kad akaun banknya,”  katanya ketika mengesahkan kejadian itu, semalam.

Hamzah berkata, susulan itu suspek melarikan beberapa barang berharga seperti komputer riba, sebuah ipad, telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM800 dan kad akaun bank.

“Mangsa kemudiannya diikat dan ditinggalkan di ruang tamu rumah oleh suspek sebelum bertindak melarikan diri menggunakan kereta mangsa.

“Walau bagaimanapun mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam yang terlihat mangsa dalam keadaan terikat ketika melalui rumah mangsa dan bergegas menghubungi polis,”  katanya.

Katanya, berikutan itu satu laporan berhubung insiden itu dibuat mangsa di Balai Polis Bahau sekitar jam 9.35 pagi pada hari sama.

“Mangsa sudah dirujuk ke Hospital Jempol bagi mendapatkan rawatan susulan akibat cedera di bahagian muka.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,”  katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...