Sabtu, 10 November 2012

Kes curi semakin menjadi-jadi


Ramli Ismail
BUKIT PAYONG -   Petani di kawasan Hulu Besut menyifatkan kes kecurian hasil tanaman, haiwan ternakan, baja dan peralatan pertanian lain di kawasan tersebut semakin menjadi-jadi sejak belakangan ini.
Petani, Ramli Ismail, 57, berkata, petani mengeluh kerana hasil tana-man mereka seperti buah petai, kelapa sawit, pisang, getah sekerap, baja, pam penyedut air, pelbagai barangan lain termasuk ternakan seperti lembu menjadi sasaran pencuri.
Dakwanya, kejadian tersebut dikatakan membabitkan semua kampung di Hulu Besut tetapi yang paling kerap berlaku adalah di kawasan Pasir Akar hingga ke Keruak.
Menurutnya, isu ini tidak akan selesai sekiranya pihak berkuasa tidak bertindak bersungguh-sungguh mencegah dan menangkap suspek yang diketahui kebanyakan orang ramai sering melakukan perbuatan tersebut.
“Kebanyakan penduduk kampung takut malah ada yang bosan untuk melaporkan kejadian ini kerana masalah sama tetap berulang sedangkan penduduk kampung amat tertekan dengan masalah ini.
“Tambahan pula, pada musim ini sekiranya tidak dapat menoreh, penduduk hanya berharap kepada hasil lain seperti petai atau pisang tetapi mereka kecewa apabila pantang lepa, buah tersebut turut menjadi sasaran pencuri,” katanya yang lebih dikenali dengan Ariffin.
Tidak tahu apa perlu dilakukan
RAMLI berkata, petani tidak tahu apa yang harus dilakukan untuk mengatasi masalah ini kerana kebanyakan kebun mereka terletak agak berjauhan dari rumah malah pencuri juga lebih bijak menghidu pergerakan mangsanya.
“Saya turut menerima nasib sama apabila dalam kejadian kelmarin sebanyak 20 beg baja, seunit enjin penyedut air, sepuluh gulung kawat duri dan seunit katil besi yang disimpan di dalam stor berkunci di kebun saya di Jalan Lata Tembakah dicuri.
“Berikutan kehilangan itu, saya mencari barang dicuri itu di sekitar rumah penduduk tempatan yang dipercayai sering melakukan perbuatan itu dan tekaan saya tepat kerana baja tersebut ditemui di belakang rumah lelaki tersebut di kawasan Bukit Payong,” katanya.
Ramli berkata, dia membuat laporan polis mengenai kehilangan dan penemuan semula baja itu untuk tindakan lanjut polis.
Katanya, penduduk kampung turut menemui banyak gulungan kabel Telekom yang dipercayai dicuri di dalam semak di belakang rumah berkenaan.
“Tetapi, ketika polis bersama penduduk kampung menyerbu rumah berkenaan, lelaki berkenaan tidak ada di rumah,” katanya.
Katanya, senario itu adalah sebahagian kes yang berlaku di kawasan Bukit Payong dan tidak termasuk banyak lagi kes yang dilaporkan sebelum ini selain kes seekor beruk yang dilaporkan hilang turut ditemui di belakang rumah suspek.
Adakan pertemuan dengan ketua polis
SEMENTARA itu, petani mengadu mengenai masalah tidak berdaya menghadapi kerugian malah hilang punca pendapatan.
Lantaran buntu dan tidak tahan berdepan masalah ini, kumpulan petani dari Hulu Besut termasuk Ramli mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut untuk mencari jalan penyelesaian kes ini.
Petani yang menjadi mangsa curi menceritakan masalah yang dihadapi apabila mereka mendakwa pencuri masih bermaharajalela dan tiada tindakan diambil ke atasnya.
“Petani terbabit telah mengadu kepada Ketua Polis Daerah dan diharapkan selepas ini satu usaha berkesan dilakukan untuk menangani isu ini,” katanya.
Kamaruddin pula berkata, beliau mengambil perhatian serius masalah ini dan akan memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan petani tidak berada dalam keadaan tertekan dan tidak menanggung kerugian.
“Polis akan menjalankan siasatan lanjut dan memburu mereka yang terlibat. Polis tidak menolak kecurian ini dilakukan oleh penagih dadah,” katanya yang meminta kerjasama penduduk kampung menangani isu ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...