Jumaat, 9 November 2012

Pemandu Bas Kilang Maut Ditikam

Gambar hiasan

GEORGETOWN 8 Nov. -  Seorang pemandu bas kilang maut selepas ditikam seorang lelaki dalam pertengkaran di hadapan sebuah kilang di Fasa 4, Bayan Lepas di sini kira-kira jam 7.20 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan Hatta Md Zin berkata mangsa, S Suresh Raja, 37, beralamat di 2-1-1 Lintang Sungai Batu, Taman Teluk Kumbar di sini maut ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah di pinggang dan bahu.

Beliau berkata, menurut pengawal keselamatan kilang berkenaan, mangsa dilihat bertengkar di tepi jalan besar berhadapan kilang itu dengan dua lelaki dan seorang wanita.


"Dalam pertengkaran itu, saksi melihat seorang daripada lelaki yang bertengkar dengan mangsa bertindak menikamnya menggunakan sebilah pisau," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, selepas kejadian itu, dua lelaki bersama wanita berkenaan melarikan diri dengan sebuah Proton Wira biru dengan nombor pendaftaraan PCW 6714.

Hatta berkata, mangsa yang masih mampu berjalan kemudiannya masuk ke kawasan kilang sebelum terjatuh di bawah pokok iaitu kira-kira 50 meter dari tempat kejadian.

"Pengawal keselamatan itu kemudian menghubungi ambulans dan ketika mangsa dibawa ke hospital, dia disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam proses bercerai dengan isterinya.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...