Isnin, 5 November 2012

Penjenayah tebuk dinding, larikan RM46,000


JEMPOL: Sekumpulan penjenayah menebuk dinding di bahagian belakang sebuah pasar raya di pekan Bahau, dekat sini, sebelum melarikan wang tunai RM46,000, awal pagi semalam.

Kejadian disedari jam 9.30 pagi apabila kerani pasar raya itu yang membuka premis untuk memulakan operasi, terkejut melihat bahagian dalam pejabat berselerak dan peti besi tempat menyimpan wang diumpil.


Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, kerani terbabit memaklumkan kejadian itu kepada pengurus pasar raya untuk tindakan lanjut.



“Sebaik tiba dan memeriksa pejabat, pengadu mendapati wang hasil niaga dua hari berjumlah RM46,000 dalam peti besi lesap dilarikan pencuri sebelum membuat laporan di Balai Polis Bahau.


“Hasil siasatan awal mendapati satu lubang kecil ditebuk di bahagian belakang premis.



“Kita percaya penjenayah lebih daripada dua orang dan mereka memecah masuk ke pejabat selepas menebuk lubang itu sekitar jam 2.30 pagi,” katanya ketika dihubungi.




Hamzah berkata, pihaknya turut mendapatkan bantuan anggota forensik untuk menjalankan siasatan lanjut di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...