Isnin, 5 November 2012

Kotak makanan lesap


Kotak makanan lesap
IPOH - Niat murni Kelab Belia Bukit Merah (Bukit Merah Youth Club) untuk menyumbangkan kotak bantuan makanan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) India sempena Deepavali terbantut apabila ia ‘lesap’ dari simpanan, dalam bilik mesyuarat kelab berkenaan, di Bukit Merah, kelmarin.

Misteri kehilangan 60 kotak bantuan makanan itu terjawab apabila ia ditemui hangus dalam sebuah rumah kedai terbiar yang terletak 20 meter dari tempat kejadian.

Anehnya, beras dan minyak masak dalam kotak makanan tersebut dipercayai telah ‘dirembat’ manakala barangan runcit lain seperti gula, bihun, tepung, susu, sardin dan Milo dibakar.

Setiausaha kelab, Loo Gar Yen memaklumkan, hanya 20 kotak bantuan makanan itu telah diserahkan kepada sebuah NGO India pada jam 1.30 petang kelmarin, untuk diagih kepada golongan kurang berkemampuan sebagai kegunaan pada perayaan Deepavali.

Menurutnya, selepas membuka pintu bilik tersebut, dia terkejut melihat semua kotak makanan serta peralatan sistem siaraya yang disimpan hilang manakala lantai bilik basah dengan kesan air.

“Dua bulan lalu, dua kompresor pendingin hawa di luar bilik mesyuarat hilang membabitkan kerugian hampir RM1,000. Dalam kejadian kali ini, saya tidak mengesyaki perkara buruk berlaku ketika tiba di lokasi kejadian kerana tiada kesan di pecah masuk.

“Selepas masuk dalam bilik mesyuarat, saya lihat semua barangan yang disimpan hilang dan lantai masih basah, dipercayai perbuatan penjenayah untuk menghapuskan bukti dari dikesan polis,” katanya ketika ditemui, semalam.

Gar Yen memaklumkan hanya mengetahui kemusnahan kotak makanan tersebut selepas diberitahu seorang warga emas yang berkebetulan melakukan senaman pagi secara berkumpulan di kawasan berhampiran.

“Warga emas itu memberitahu yang mereka melihat anggota bomba dan penyelamat sedang bertungkus lumus memadam kebakaran di rumah kedai terbiar, bersebelahan bilik mesyuarat kami.

“Lebih mengejutkan, warga emas itu memaklumkan barangan yang terbakar adalah kotak bantuan makanan yang disimpan di sini,” katanya.

Beliau hairan bagaimana penjenayah boleh masuk ke dalam bilik mesyuarat itu sedangkan ia dikunci dengan rapi sebelum ditutup dan merasa kecewa dengan kejadian berkenaan memandangkan kelab itu terletak berhampiran Balai Polis Bukit Merah.

“Saya mengesyaki kejadian dilakukan sekumpulan penagih dadah dan tidak menolak kemungkinan ia dilakukan secara terancang kerana tiada kesan yang ditinggalkan penjenayah,” katanya.

Berikutan kejadian itu, beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Merah dan meminta semua pihak memainkan peranan untuk menjaga keamanan serta ketenteraman awam agar kejadian seumpama itu dapat dicegah.

Sebelum ini, sekumpulan remaja tidak bermoral bertindak membakar peralatan permainan kanak-kanak dan merosakkan beberapa kemudahan yang disediakan kelab berkenaan dalam insiden di lokasi sama pada 20 Jun 2010.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...