Selasa, 6 November 2012

Restoran makanan segera di Sungai Petani dirompak

Gambar hiasan

SUNGAI PETANI: Sebuah restoran makanan segera di Kompleks Seri Temin, Jalan Ibrahim di sini mengalami kerugian kira-kira RM35,000 selepas dirompak empat lelaki padi tadi. 

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, kumpulan penjenayah yang bersenjatakan pistol dan parang itu melarikan wang hasil jualan restoran berkenaan sejak tiga hari lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, tiada pelanggan dalam premis berkenaan sewaktu kejadian dan lima pekerja termasuk seorang penyelia yang bertugas ketika itu terselamat. 

"Siasatan awal mendapati rompakan dilakukan empat lelaki, dua daripadanya bersenjatakan pistol manakala dua lagi bersenjatakan parang. 

"Penjenayah masuk ke dalam kedai itu dan mengacukan pistol ke arah salah seorang pekerja dan menyuruh mangsa membuka peti besi," katanya kepada Bernama. 

Mohd Zakaria berkata, setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan. 

"Kita terus menjalankan siasatan bagi mengesan suspek dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya. 
Difahamkan penjenayah turut mengambil pita rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum meninggalkan premis terbabit. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...