LABIS – Dua bersaudara berhadapan detik mencemaskan apabila disamun enam lelaki bersenjatakan parang ketika sedang tidur dalam pondok sebuah kebun berhampiran Perumahan Awam Labis, kelmarin.
Salah seorang mangsa, Ibrahim Sameon, 26, berkata, ketika kejadian berlaku dia bersama saudaranya, Rudy Hartono, 27, sedang mengawal ladang milik bapanya kerana ia pernah di ceroboh beberapa kali sebelum ini menyebabkan lori milik bapanya dilarikan.
“Ketika kejadian saya tidak sempat berbuat apa-apa sebelum kesemua mereka yang menutup muka dengan tuala mengikat saya dengan tali di sebuah kerusi,” katanya.
Menurutnya, kesemua lelaki itu melarikan diri dengan membawa beberapa peralatan seperti mesin gergaji dan pam racun selain beberapa wang tunai miliknya turut disamun.
Ibrahim berkata, saudaranya (Rudy) yang berkawal di sebuah pondok berhampiran turut mengalami nasib sama apabila diikat dan telefon bimbit miliknya dilarikan.
“Mujur kami dapat melepaskan diri selepas Rudy berjaya membuka ikatan tersebut sebelum pergi ke Balai Polis Labis untuk membuat laporan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Hanafi Daud mengesahkan laporan berkaitan kejadian itu namun tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes berkenaan masih dalam siasatan pihaknya.