Jumaat, 7 Disember 2012

Rasuah: Ketua Logistik PLKN didakwa


PLKN rasuah
AYER KEROH - Seorang ketua logistik sebuah kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini semalam atas tuduhan menerima rasuah sebanyak RM8,300 tahun lalu.

Tertuduh, Hasnan Zakaria, 42, yang juga seorang anggota tentera bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan menerima suapan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Hasnan sebagai Ketua Logistik PLKN Ayer Keroh didakwa menerima suapan sekeping cek bernombor 058935 sebanyak RM2,500 daripada seorang kontraktor, Mohd Noor Daud.

Wang yang diterima menerusi nombor akaun 14040014119728 Bank Muamalat Cawangan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 23 Semptember 2011 itu sebagai dorongan untuk mengarahkan semua pelatih menghantar baju mereka untuk cucian dobi yang diuruskan Mohd Noor.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama dengan menerima suapan sekeping cek bernombor 058969 daripada kontraktor sama bernilai RM1,300 pada 13 April 2011.

Hasnan yang mula bertugas di PLKN tersebut April 2010 turut menerima suapan wang tunai melalui akaun sama sebanyak RM1,500 pada 18 Mac 2011 dan RM3,000 pada 26 Julai 2011.

Semua kesalahan dilakukannya didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohammed Heikal Ismail ketika pendakwaan memohon mahkamah memberikan jaminan RM15,000 bagi keempat-empat petuduhan.

Bagaimanapun, Hasnan merayu wang jaminan dikurangkan dengan alasan tiada mata pencarian lain dan kini dalam kursus peralihan untuk bersara.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...