KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga Colombia yang ditahan pada 12 November lepas kerana kes pecah rumah, meloloskan diri daripada kawalan polis ketika dalam perjalanan ke mahkamah di Petaling Jaya, pada Selasa.
Kejadian berlaku ketika Martin Rodriguez Yerson David, 26, dan Sana Bria Florian Jorge Luis, 22, serta lapan tahanan lain dibawa dari lokap bersepadu di Shah Alam untuk didakwa di mahkamah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abd Razak Elias berkata kehilangan dua tahanan terbabit hanya disedari polis apabila mereka tiba di mahkamah pada pukul 11.20 pagi.
Beliau juga tidak menolak kejadian berlaku akibat kecuaian pihak polis dan menegaskan siasatan dijalankan secara terperinci.
Katanya polis kini giat mengesan tahanan berkenaan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-duanya tampil membantu di balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Serdang di talian 03-80620485.
Menurut beliau, dua lelaki berkenaan ditahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil kerana pecah rumah dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.-BERNAMA