Khamis, 6 Disember 2012

RM15,000 diletak dalam kereta lesap


Geng Palembang Mula Aktif
KUANTAN - Seorang peniaga berputih mata apabila wang RM15,000 yang ditinggalkan dalam kereta dikebas pencuri dalam kejadian pecah kereta di  di Jalan Abdul Aziz, di sini, petang kelmarin.

Wang yang baru dikeluarkan dari sebuah bank itu diletakkan di bawah tempat duduk penumpang depan sebelum pemandunya meninggalkan kereta tersebut untuk ke sebuah restoran berhampiran.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Nordin Mustapha berkata, mangsa berusia 41 tahun itu mengeluarkan wang tersebut kira-kira jam 1 petang di sebuah bank di bandar ini sebelum singgah di lokasi kejadian untuk makan tengah hari.

Menurutnya, selepas satu jam, mangsa kembali ke keretanya dan mendapati cermin tingkap bahagian penumpang depan dipecahkan.

“Hasil pemeriksaan lelaki itu mendapati, wang yang dimasukkan dalam sampul dan disimpan di bawah tempat duduk penumpang depan lesap,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nordin berkata, susulan kejadian, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan.

“Berdasarkan siasatan awal, polis percaya suspek sudah merancang sebelum bertindak dan berkemungkinan gerak geri mangsa sudah diperhatikan sebelum diekori.

“Perbuatan mangsa meninggalkan wang dalam kereta memberi kesempatan kepada penjenayah untuk bertindak memecahkan cermin tingkap dan melarikan wang tersebut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan dan polis kini giat memburu suspek terlibat.

Susulan kejadian itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak meninggalkan wang atau sebarang barang berharga dalam kenderaan.

Menurutnya, perbuatan seumpama itu akan membuka peluang kepada penjenayah untuk bertindak manakala mangsa akan mengalami kerugian.

“Jika wang yang dibawa bagi tujuan tertentu, sewajarnya selesaikan urusan berkaitan terlebih dahulu sebelum singgah di tempat lain,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...