Jumaat, 28 Disember 2012

Polis nasihat ibu bapa utamakan nyawa berbanding harta pada musim banjir

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan ibu bapa supaya lebih mengutamakan keselamatan nyawa berbanding kehilangan harta benda pada musim banjir yang kini berlaku di beberapa buah negeri. 

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ibu bapa seharusnya lebih mementingkan keselamatan nyawa mereka serta anak-anak bukan harta benda yang ditinggalkan. 

"Apabila rumah dikosongkan, sudah menjadi tanggungjawab pihak polis untuk memastikan keselamatan harta benda yang ditinggalkan. Kita akan meletakkan anggota polis (di kawasan perumahan) untuk memastikan keselamatan harta benda," katanya kepada pemberita selepas pelancaran seminar 'Go Green' PDRM di sini, hari ini. 

Sambil memberikan contoh dua mangsa lemas akibat banjir baru-baru ini, beliau mengingatkan ibu bapa supaya menjaga anak kecil mereka dengan baik dan jangan menganggap musim banjir adalah 'pesta air'. 

"Tiap tahun ada sahaja mangsa yang lemas dan kebanyakannya adalah anak kecil, jadi ibu bapa harus mengutamakan nyawa anak-anak mereka," katanya. 

Khalid mengakui walaupun terdapat kes yang membabitkan kecurian harta benda pada musim banjir yang lepas namun perkara tersebut masih berada pada tahap terkawal. 

Sementara itu, mengenai Seminar 'Go Green' terbabit, beliau berkata, ia adalah untuk memberi penerangan kepada pegawai-pegawai kanan PDRM bagi meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan teknologi hijau. 

"PDRM akan mengaplikasi konsep tersebut melalui empat aspek iaitu penjimatan tenaga, meminimumkan pencemaran alam sekitar, meningkatkan pembangunan ekonomi melalui perolehan peralatan dan perkhidmatan yang mesra alam serta menjadi penyumbang kepada konsep tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat," katanya. 

Khalid berkata, perancangan pertama bagi konsep terbabit akan dilaksanakan di Balai Polis Tun H.S Lee di sini pada tahun depan. 

"Sebagai contoh, jika terdapat kertas siasatan yang dibuka tidak memerlukan penggunaan kertas, kita tidak akan menggunakan kertas dan menggunakan konsep tanpa kertas," katanya. - BERNAMA 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...