PELABUHAN KLANG - Sepuluh buah komputer di Pejabat Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Teh Kim Poo yang dilengkapi maklumat dan rekod aktiviti pilihan raya umum akan datang antara yang dilarikan dalam kejadian pecah masuk premis itu hari ini.
Teh berkata kejadian itu hanya disedari pada kira-kira pukul 10 pagi tadi oleh petugas pusat itu yang mahu memulakan kerja setelah mendapati premis yang terletak di Jalan Pendamar di sini dipecah masuk dan berada dalam keadaan berselerak.
"Saya mendapat panggilan telefon daripada kakitangan saya pagi ini dan memberitahu pejabat saya telah dipecah masuk. Susulan itu saya terus bergegas ke pejabat dan mendapati pintu belakang pejabat saya telah diumpil dari luar," katanya ketika ditemui di sini.
Teh berkata beliau tidak menolak kejadian itu mempunyai kaitan dengan isu politik ekoran beberapa barang berharga di pejabatnya termasuk sebuah televisyen tidak dilarikan.
"Saya percaya lebih dari dua suspek yang melakukan kegiatan ini. Mereka mungkin memasuki pejabat saya selepas pukul 1 pagi kerana sebelum waktu itu, saya dan dua orang kakitangan masih berada di pejabat bagi melakukan persiapan terakhir untuk Karnival Sayangi Selangor yang bakal berlangsung di I-City, Seksyen 7, Shah Alam esok," katanya.
Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat pihaknya di Balai Polis Pandamaran.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Klang Selatan Supt Azman Abdul Razak yang mengesahkan menerima laporan tersebut berkata tindakan susulan sedang diambil untuk menjejaki suspek - Bernama