Sabtu, 29 Disember 2012

Premis judi internet tumbuh bagai cendawan


GUA MUSANG - Penduduk di daerah Gua Musang, kecewa dengan pemerintahan kerajaan Pas yang mendakwa menjalankan pemerintahan Islam, namun gagal menangani kegiatan perjudian di sekitar bandar ini sejak beberapa bulan lalu.

Seorang penduduk, Hashim Mustapha, 45, berkata, walaupun pihak berkuasa iaitu Penguat kuasa Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) menyerbu dan menyita premis yang menyediakan judi internet, masih ada premis yang beroperasi semula.

Hashim berkata, pihak berkuasa tempatan hanya seolah-olah dipermainkan pihak penganjur kelab judi haram dan tidak takut dengan sebarang operasi.

Katanya, apa yang lebih mengecewakan, premis judi internet di Gua Musang semakin bertambah.

“Sebuah lagi premis judi internet baru dibuka, di samping premis yang dikenakan tindakan kompaun bersama disita di Jalan Besar, terus beroperasi seperti biasa.

“Sebagai sebuah kerajaan bawah pimpinan ulama di Kelantan, tidak sepatutnya ada premis judi internet secara haram kerana ia sama-sama menanggung dosa jika tidak dibanteras,” katanya.

Mohamad Daud, 53, pula berkata, premis judi internet yang menarik ramai kalangan remaja Islam beroperasi 24 jam tanpa henti.

Katanya, setakat ini, sudah dua tiga kali operasi menyerbu ke pusat judi internet itu termasuk dua operasi dilakukan penguat kuasa MDGM dan satu operasi dari Ibu Pejabat Kontinjen Kelantan (IPK).

“Saya mengharapkan pemimpin kerajaan Pas Kelantan turun untuk buat pemantauan sendiri mengenai perkara itu,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...