Sabtu, 29 Disember 2012

Mat gian makin berleluasa


GUA MUSANG - Angkara ketagihan, pengadang jalan ke Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil, dekat sini, menjadi sasaran mat gian untuk mencuri bagi mendapatkan wang cara mudah.

Bagaimanapun, pengguna jalan mendakwa, ada juga besi pengadang yang gagal dicuri selepas dibuang skru kerana dilihat orang ramai yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

Seorang pengguna jalan itu, Yusop Kadir, 52, berkata, kejadian mencuri besi pengadang berlaku sejak lebih setahun lalu, hingga kini, hanya tinggal beberapa tempat sahaja yang belum dicabut.

Katanya, pengadang jalan menjadi sasaran selepas tiada lagi kabel telefon untuk dicuri sehingga menyusahkan penduduk bagi mendapat khidmat telefon tetap di rumah.

“Kami sudah buntu memikirkan cara bagi menghalang mat gian yang semakin bertindak ganas hingga sanggup melakukan apa sahaja, asalkan mereka dapat wang untuk membeli barang ketagihan,” katanya.

Seman Sulaiman, 48, pula berkata, apa yang menghairankan, ada pembeli yang membeli barang yang dijual penagih walaupun besi pengadang jalan yang menjadi barang diawasi kerajaan.

Seman berkata, kebanyakan mat gian datang dari merata tempat dan memberi tumpuan kepada kawasan yang masih ada peluang untuk mereka menjalankan aktiviti mencuri termasuk beberapa di RKT Kesedar.

“Mungkin selepas habis mencuri besi pengadang jalan, ada pula benda lain yang diberi tumpuan kerana pada mereka ada peluang mendapatkan wang, perkara itu yang dikejar termasuk mencuri di kawasan rumah penduduk,” katanya
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...