Isnin, 28 Januari 2013

Bekas polis dipukul, ditinggalkan dalam van

Gambar hiasan

BAYAN LEPAS - Seorang bekas anggota polis ditemui dalam keadaan tidak sedar diri selepas dipercayai dibelasah sebelum ditinggalkan di dalam sebuah van kilang di belakang sebuah hotel di Bayan Baru di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah di bahagian tempat duduk van berkenaan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin berkata, mangsa yang sudah tiga tahun diberhentikan perkhidmatannya dalam pasukan Polis Diraja Malayasia (PDRM) kini bekerja sebagai pemandu van kilang.

Menurutnya, orang ramai yang menemui mangsa dalam keadaan tidak sedar diri terus membawanya ke Hospital Pulau Pinang.

Mohd Hatta berkata, siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk dan kini berada dalam keadaan koma.

“Polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian sama ada mangsa terlibat dengan pergaduhan atau dipukul. Kita akan menunggu sehingga suspek sedar untuk mengambil keterangan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Hatta berkata, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun atau denda atau sebatan.

Dalam pada itu, Mohd Hatta meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di talian 04-8662222.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...