Isnin, 28 Januari 2013

IPD JB Selatan lakar sejarah

IPD JB Selatan lakar sejarah
Ismail diiringi Zainuddin melancarkan program Ronda Berbasikal Pegawai Kanan Polis IPDJBS dan Pelepasan Ronda dan Riadah Jelajah Johor 'Crime Awareness' NKRA Johor di IPK Johor

JOHOR BAHRU – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan melakar sejarah tersendiri apabila menjadi IPD pertama di negara ini yang memiliki pasukan ronda berbasikal melibatkan pegawai kanan polis, dalam usaha membanteras jenayah secara berterusan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, seramai 80 pegawai kanan di bawah IPD berkenaan terlibat dalam pasukan itu bagi meningkatkan tahap kesejahteraan dan kawalan keselamatan di sesuatu kawasan.

Menurutnya, kaedah yang banyak diguna pakai oleh polis di luar negara dilihat lebih mesra rakyat, malah mampu menjadi alternatif dalam membuka ruang mendekati orang ramai selain membolehkan usaha memberi tumpuan kepada kawasan panas dilakukan.

“Jika dahulu kebiasaannya pegawai kanan akan menggunakan kenderaan seperti kereta bagi sebarang program antaranya program ‘High Profile Policing’ dan sebagainya, tetapi pendekatan yang dilakukan kini sedikit berbeza.

“Mereka akan melakukan rondaan sekurang-kurangnya lima jam setiap minggu secara bergilir-gilir tanpa gagal malah akan bergerak dalam kumpulan.

“Pasukan ini akan pergi ke lokasi-lokasi tumpuan ramai seterusnya bertemu dan mengadakan sesi taklimat ringkas bersama masyarakat sambil mengedarkan risalah pencegahan jenayah serta senarai talian hotline polis selain mempromosi aktiviti-aktiviti polis,” katanya pada Majlis Pelancaran Ronda Berbasikal Pegawai Kanan Polis IPD Johor Bahru Selatan serta Pelepasan Ronda dan Riadah Jelajah Johor 'Crime Awareness' Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Johor di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini, semalam.

Hadir merasmikan program adalah Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim.

Zainuddin berkata, pasukan itu juga akan menjelajah ke 10 daerah di negeri ini termasuklah Kluang, Ledang, Pontian, Batu Pahat dan Kota Tinggi.

“Pendekatan terbaru ini diharap dapat merapatkan lagi hubungan di antara polis dan masyarakat seterusnya mengurangkan kadar jenayah serta dapat merubah persepsi orang ramai bagi menjamin keselamatan semua pihak.

“Langkah ini juga bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan perpaduan bersama komuniti, tetapi ia juga dapat menjimatkan subsidi petrol yang diberikan kerajaan serta menarik semua pihak termasuklah masyarakat setempat untuk terlibat dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, seramai 1,200 orang menyertai Skuad Ronda dan Riadah IPD Johor Bahru Selatan di mana keanggotaannya terdiri daripada masyarakat setempat bersama anggota serta pegawai polis.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...