Ahad, 3 Februari 2013

2 Tahanan Lolos Dapat Bantuan Untuk Sembunyi - Polis

Gambar hiasan

BUKIT MERTAJAM: Polis tidak menolak kemungkinan dua tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth bulan lepas, mendapat bantuan pihak lain untuk bersembunyi.
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar meminta orang ramai terutama keluarga dan kenalan terdekat dua lelaki yang diburu itu supaya tidak menghulurkan bantuan kepada mereka.
"Sebelum ini tahanan lain turut dibantu rakan mereka sebelum berjaya ditahan polis," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat II sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2013, di Tol Juru, di sini, Sabtu.
Beliau berkata polis yakin kedua-dua tahanan yang diburu itu masih bersembunyi di negeri ini dan polis kini meningkatkan usaha memburu mereka.
"Berdasarkan maklumat-maklumat yang diperoleh, saya percaya kami akan dapat tahan mereka dalam tempoh terdekat," katanya.
Dalam kejadian 9 pagi 7 Jan, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada 10 Januari.
Dua hari kemudian polis menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang dan Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, pula menyerah diri di Pasar Awam Penanti manakala Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan di sebuah kafe internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini.
Mengenai kes sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak di utara semenanjung, Abdul Rahim berkata pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kes itu.
Beliau berkata setakat ini, lapan individu termasuk seorang doktor klinik swasta dan dua pegawai Jabatan Pendaftaraan Negara (JPN) masih direman bagi membantu siasatan kes itu.
Baru-baru ini, Polis Pulau Pinang membongkar sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang aktif di utara tanah air dengan penahanan 33 individu berumur antara 23 hingga 52 tahun.BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...