Jumaat, 8 Februari 2013

Pendatang asing makin berani

Pendatang asing makin berani
Kawasan kaki lima dijadikan pusat penyembelihan ayam.

SELAYANG - Kawasan komersial yang menjadi lokasi perbankan, bengkel dan kedai makan di Pusat Bandar Utara, di sini, kini turut dijadikan tempat penyembelihan ayam terbuka  warga asing.


Tinjauan Sinar Harian mendapati peniaga dipercayai warga Myanmar menjalankan perniagaan sembelihan ayam itu di kaki lima kawasan berkenaan.

Fenomena itu sebelum ini pernah didedahkan Sinar Harian, namun sehingga kini tiada sebarang penguatkuasaan berkesan diambil di kawasan yang terletak di sempadan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


Kesannya, aktiviti tersebut diteruskan seperti biasa malah ada juga mengambil kesempatan berniaga sayuran dan sireh sekali gus menyebabkan warga tempatan yang hendak menjalankan urusan mereka di kawasan terbabit kurang selesa.

Masyarakat mendakwa, penguatkuasaan yang lemah menyebabkan warga Myanmar terbabit berani menjalankan perniagaan di kaki lima itu selain menyebabkan kebersihan di situ terabai.

Pendatang asing makin berani
Sebuah pusat kafe siber yang beroperasi dalam keadaan meragukan
selain tiada papan tanda perniagaan.
Selain perniagaan di kaki lima itu, sumber memaklumkan terdapat dua pusat siber turut beroperasi dalam keadaan meragukan.

"Dua premis itu menggunakan cermin gelap dan tiada papan tanda perniagaan selain beroperasi melebihi masa ditetapkan.

"Kewujudan pusat siber itu dikaburkan dengan aktiviti menjaja makanan oleh warga Myanmar di hadapannya dan kita gesa pemeriksaan segera dilakukan terhadap premis tersebut," katanya.

Selain itu, menurut sumber, penguatkuasaan lebih kerap perlu dilakukan termasuk meletakkan anggota penguat kuasa di kawasan terbabit yang sememangnya kritikal dan dipenuhi pendatang asing asing.

“Pusat Bandar Utara ini seperti dipinggirkan daripada pemantauan penguatkuasaan DBKL sekali gus menyebabkan pendatang asing terbabit semakin berani dan sering mengganggu keamanan apabila sering berbalah sesama sendiri.

“Jumlah mereka juga semakin meningkat dan aktiviti menjaja semakin berleluasa sehingga penyembelihan ayam turut dilakukan di kawasan pusat komersial itu,” katanya.

Katanya, kawasan perumahan sekitar juga kini semakin dimonopoli pendatang asing terbabit dan dipercayai jumlahnya melebihi warga tempatan.

"Pendatang asing ini gagal menjaga kebersihan dan tidak boleh menerima teguran.

"Oleh itu, pihak bertanggungjawab mesti mengambil tindakan penyelesaian kerana kita yakin 50 peratus daripada pendatang asing terbabit tinggal secara haram," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...