Isnin, 11 Mac 2013

Mati ditetak bertubi-tubi

Gambar hiasan

Seremban: Dipercayai bermotifkan dendam, seorang lelaki mati mengerikan selepas ditetak bertubi-tubi oleh tiga lelaki bertopeng yang memecah masuk rumahnya di Kampung Bukit Pelanduk, Port Dickson, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa, T Ganesan, 37, yang juga anak saudara kepada Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Datuk M Velu mati serta-merta di tempat kejadian akibat pendarahan teruk di kepala. 
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, ketika kejadian, mangsa yang berada di dalam biliknya didatangi tiga lelaki tidak dikenali memakai topeng dan menaiki sebuah kereta. 

“Ketiga-tiga suspek bertindak meluru ke arah mangsa sebelum menetak bahu, pangkal leher dan tangan menggunakan senjata tajam sebelum melarikan diri. “Kebetulan, bapa mangsa yang mendengar bunyi bising bergegas ke bilik anaknya dan melihat mangsa sudah tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Abd Wahab berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya di hantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

“Kita percaya motif serangan ialah dendam dan menolak kemungkinan mangsa dirompak, bagaimanapun kita masih menyiasat bagaimana suspek memecah masuk rumah itu.

“Siasatan awal juga mendapati, mangsa kemungkinan sedar ketika suspek menyerbu biliknya berdasarkan luka di bahagian tangan dipercayai cuba mempertahankan diri,” katanya. 

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan meminta orang awam yang mengetahui maklumat berhubung kejadian itu supaya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson atau hubungi 06-6472222 untuk membantu siasatan. 

Sementara itu, Datuk M Velu ketika ditemui di Unit Forensik HTJS berkata, anak saudaranya itu tinggal di Perak dan baru tiga hari pulang ke daerah ini. 

“Dia pulang berikutan mahu berjumpa dengan anak perempuannya, G Lakshana, 10, yang tinggal bersama ibu bapanya sejak kecil di Bukit Pelandok. 

“Menurut adik ipar saya yang juga bapa mangsa, ketika kejadian, dia dapat melihat tiga lelaki bertopeng berlari keluar dari bilik anaknya lalu bergegas ke bilik anaknya dan terkejut melihat anaknya sudah meninggal dunia,” katanya. Adik lelaki mangsa, T Krishnan, 35, berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan abangnya itu enam bulan lalu. 

“Abang dan kakak ipar tinggal di Perak dan hanya pulang ke sini sekali sekala untuk berjumpa anaknya. 

“Tidak sangka kepulangannya kali ini menyebabkan dia mati dibunuh,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...