Ahad, 7 April 2013

23 PEGAWAI POLIS DILANTIK JURUCAKAP MUDAHKAN PENYALURAN MAKLUMAT PRU13


Kuala Lumpur, 6 April - Seramai 23 pegawai polis dilantik sebagai jurucakap mewakili 14 kontinjen polis seluruh negara untuk rujukan media dan orang ramai bagi memudahkan penyaluran maklumat sepanjang pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusof berkata mereka juga merupakan jurucakap rasmi bagi kontinjen masing-masing yang boleh dihubungi untuk mendapatkan pengesahan berhubung sesuatu insiden semasa PRU13.

"Selain lantikan pegawai kanan polis bagi memantau dan memastikan proses pilihan raya di seluruh negara berjalan lancar, lantikan 23 pegawai ini juga membolehkan media serta orang ramai hubungi untuk dapatkan pengesahan sebarang maklumat atau insiden sebelum ia dirujuk terus kepada kepimpinan tertinggi.

"Mereka boleh dirujuk terlebih dahulu memandangkan mereka mengendalikan secara fokus berhubung sebarang insiden sepanjang pilihan raya nanti," katanya kepada pemberita pada taklimat harian tentang keselamatan sepanjang PRU13 di sini, hari ini. 

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar antara 11 pegawai kanan polis yang dilantik untuk memantau dan memberi nasihat kepada 14 kontinjen negeri berhubung keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh PRU13.

Ramli berkata, selain itu orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Polis Diraja Malaysia di talian 03-22663333 atau 03-22663444 untuk mendapatkan pengesahan sebarang maklumat. 

Mengenai sama ada terdapat ancaman terhadap aspek keselamatan sejak pembubaran Dewan Rakyat pada 3 April lalu, katanya setakat ini tiada laporan diterima.

Dalam pada itu, Ramli sekali lagi mengulangi nasihat Ketua Polis Negara sebelum ini dengan meminta semua pihak terutamanya ahli politik agar lebih berhati-hati dalam menyampaikan ideologi politik masing-masing.

"Dalam menyampaikan ideologi politik, semua pihak harus akur dengan etika-etika tertentu dan memastikan ia tidak berbaur isu perkauman, ugutan dan sebagainya. Ini bagi mengelakkan berlakunya sebarang ancaman, huru hara, perbalahan dan insiden-insiden yang tidak diingini," katanya.

Menjelaskan mengenai tugas dan tanggungjawab polis sepanjang pilihan raya umum, Ramli berkata tugasan polis sama seperti hari biasa.

Berikut senarai nama pegawai yang boleh dirujuk di setiap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK):-

IPK KEDAH
1. ACP AZIZI MAT ARIS - KETUA JABATAN PENGURUSAN 
2. ASP ROSLAN MASJIN - PT HAL EHWAL 
3. INSP HASMALIZA ABDULLAH - INSP HAL EHWAL AWAM 

IPK PERAK
1. SUPT MASZELY MINHAD - KETUA JABATAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIL 

IPK PAHANG
1. ACP MOHD ANUAR OTHMAN - KETUA JABATAN PENGURUSAN 

IPK JOHOR
1. ACP ABD AZIZ AHMAD - KETUA JABATAN PENGURUSAN 

IPK SABAH
1. SAC NOOR AZAM JAMALUDIN - KETUA JABATAN PENGURUSAN 
2. DSP MOHAMAD TAIB - PT PENTADBIRAN 

IPK SARAWAK
1. ACP AZAM ABD HAMID - ACP PENTADBIRAN 

IPK TERENGGANU
1. SUPT KOH AH TIAN - KETUA JABATAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIL 
2. ASP RAZALI MOHAMED SHAHID - ASP HAL EHWAL AWAM 

IPK KELANTAN
1. SUPT CHE MAHAZAN CHE AIK - KETUA JABATAN PENGURUSAN 

IPK PERLIS
1. SUPT S. SURESH KUMAR - KETUA JABATAN PENGURUSAN 
2. ASP AZMI HAMID - ASP HAL EHWAL AWAM 

IPK KUALA LUMPUR
1. ACP IZANY ABD GHANI - KETUA JABATAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIL
2. ACP ABDULLAH ISHAK - KETUA JABATAN SIASATAN JENAYAH NARKOTIK
3. ASP ZURAIDAH SAMSUDIN - PT HAL EHWAL AMAM 
4. ASP FOO CHEK SENG - PEGAWAI PENYELARAS SUKSIS UNIVERSITI MALAYA

IPK SELANGOR
1. SAC HASANUDDIN HASSAN - KETUA JABATAN PENGURUSAN 

IPK PULAU PINANG
1. ACP ROSLEE CHIK - KETUA JABATAN SIASATAN JENAYAH KOMERSIL 

IPK MELAKA
1. SUPT RABUAN PIT - KETUA JABATAN PENGURUSAN 
2. ASP NORAZLINDA NORDIN - ASP HAL EHWAL AWAM 

IPK NEGERI SEMBILAN
1. SUPT MUHAMAD HANIFAH ABDUL MALEK - KETUA JABATAN PENGURUSAN 

- BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...