Isnin, 15 April 2013

PDRM, ATM TINGKAT KERJASAMA DENGAN AGENSI RISIKAN SERANTAU, ANTARABANGSA


KOTA KINABALU, 14 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi risikan serantau dan antarabangsa bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan terutama di kawasan perairan negara. 

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pemantauan dan pemintasan di darat dan perairan akan diperluaskan di bawah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) selepas Operasi Daulat berakhir bagi mengelak berulangnya insiden kumpulan pengganas menceroboh negara. 

Katanya agensi risikan antarabangsa berkaitan termasuk National Intelligent Coordinating Agency (NICA), The Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) Chiefs of Police (ASEANAPOL) dan Polis Antarabangsa (Interpol). 

"Perkara-perkara itu akan diberi perhatian kerana jaringan pihak polis dengan Counter Terrorism Task Force dari beberapa negara luar yang berkaitan telah membuahkan hasil dalam menjejaki musuh dan mengenal pasti tahap ancaman yang sebenar," katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini, hari ini. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam ketika melancarkan pusat pemerintahan Esscom menggariskan empat strategi penting yang perlu dilakukan dalam meningkatkan kawalan keselamatan terutama di kawasan perairan negara.

Beliau berkata kerajaan juga akan mempertingkatkan pengawasan perairan negara melalui penggunaan teknologi terkini mengikut situasi semasa. 

"Tiga pihak iaitu Pasukan Gerakan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Laut akan berbincang teknologi terkini yang terbaik dan cara yang efektif dipertimbangkan untuk memantau sepanjang 1,400 kilometer pantai Timur Sabah," katanya. 

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata mana-mana kumpulan atau individu, rakyat atau orang luar tidak akan terlepas daripada tindakan tegas dalam penguatkuasaan undang-undang jika kedaulatan dan keselamatan negara diancam. 

Katanya pembabitan rakyat sebagai "mata dan telinga' dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa akan diperkukuhkan, selain meningkatkan peranan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB). 

"Secara peribadi sebagai Menteri Dalam Negeri, saya akan memantau keadaan keselamatan di seluruh Sabah, lebih-lebih lagi ketika kita menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13)," katanya. 

Hishammuddin berkata Bahagian Keselamatan Dalam Negeri juga telah menubuhkan bilik gerakan di Kota Kinabalu dan boleh dihubungi melalui talian 088-487370 yang beroperasi 24 jam, khidmat pesanan ringkas (SMS) 013-8019960, faksimili 088-487371 dan e-mel bilikgerakansbh@jpn.gov.my. 

"Dengan sokongan padu rakyat Sabah saya yakin selepas PRU13, kita akan membuat perancangan jangka masa panjang yang lebih mendalam demi keselamatan negeri ini," katanya dan menurutnya ini termasuk di kawasan Zon Selamat Sabah Timur (Esszone). 

Esscom merupakan ejen penguatkuasaan bagi Esszone yang merangkumi 10 daerah sepanjang 1,400 kilometer di pantai timur Sabah yang meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...