Jumaat, 17 Mei 2013

Dua lelaki leka berjudi cedera ditembak sekumpulan lelaki

Gambar hiasan

IPOH 14 Mei - Dua daripada lima lelaki yang sedang leka berjudi cedera ditembak sekumpulan enam hingga tujuh lelaki bersenjatakan pistol di sebuah rumah di Jalan Jeti, Bagan Serai awal pagi semalam, yang dipercayai bermotifkan salah faham dan persengketaan atau pergaduhan kongsi gelap.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.15 pagi itu, kumpulan terbabit menyerbu masuk ke rumah tersebut sebelum berlaku pergaduhan dan seterusnya suspek menyamun barangan peribadi milik mangsa berupa wang tunai dan telefon bimbit.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, kumpulan suspek yang berpakaian hitam dan bertopeng itu kemudian melarikan diri sambil melepaskan dua das tembakan yang mengenai dua lelaki terbabit berusia 32 dan 42 tahun.

Menurutnya, seorang daripada mangsa cedera di paha manakala rakannya di lengan.

“Kumpulan tersebut turut melarikan dua kereta milik mangsa. Namun salah sebuah kereta yang dilarikan ditemui semula tidak jauh dari tempat kejadian.

“Salah seorang mangsa dikejarkan ke Hospital Parit Buntar sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping manakala seorang lagi disyaki mendapat rawatan sendiri," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, hari ini.

Mohd. Shukri berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

“Orang ramai yang melihat kejadian dan mempunyai maklumat berhubung kes tersebut diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan," katanya.

Sementara itu dalam kejadian berasingan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, beliau berkata, seorang nelayan cedera selepas ditembak ketika memandu di Jalan Gula, Kuala Kurau dekat sini.

Mohd. Shukri memberitahu, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke Taiping untuk menghantar udang kering sebelum kenderaannya dihimpit sebuah kereta jenis Honda Civic yang dinaiki suspek.

“Mangsa perlahankan keretanya dan suspek yang terus menghimpit kereta mangsa melepaskan satu das tembakan menembusi cermin pemandu yang mengakibatkan lelaki itu cedera di lengan sebelah kanan," katanya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...