Jumaat, 3 Mei 2013

ELAKKAN PROVOKASI DAN GANGGUAN PADA HARI MENGUNDI

Kuala Lumpur, 3 Mei – Polis menegah mana-mana pihak daripada melakukan sebarang provokasi atau menganggu proses pembuangan undi pada hari mengundi, Ahad ini.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Utama Hj Ismail bin Hj Omar berkata, sebarang cubaan untuk menganggu atau menghalang hak mengundi mana-mana individu adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Menurutnya, polis dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertanggungjawab melindungi hak pengundi dan memastikan proses pembuangan undi berjalan lancar tanpa gangguan.


“Pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di lokasi penugasan yang telah dikenal pasti sebelum proses pembuangan undi bermula sehinggalah selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

“Justeru saya menyeru para pengundi supaya tidak ragu-ragu menunaikan tanggungjawab dan hak mereka seperti mana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini.

Katanya, semua pihak juga dinasihatkan tidak mengadakan sebarang perarakan selepas keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 diumumkan bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Penyokong parti perlu beri bekerjasama dengan polis. Jangan lakukan sebarang kekerasan, bawa objek yang boleh mencederakan orang atau keluarkan perkataan provokasi.

“Dalam berkempen, patuhi undang-undang dan jangan terlalu ghairah,” katanya.

Ismail turut menafikan dakwaan sesetengah pihak akan berlaku kekecohan semasa dan selepas PRU13 yang memungkinkan pilihan raya akan ditangguh.

“Itu tidak benar. Kita telah mengambil langkah yang sepatutnya untuk memastikan PRU berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

“Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang maklumat palsu dan khabar angin yang tersebar di rangkaian digital,” katanya. 

Menurutnya, mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan rangkaian digital boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam perkembangan lain, Ismail turut menegaskan pihaknya masih meneruskan siasatan terhadap insiden pencerobohan di Lahad Datu sehingga kini.

“Pemantauan keselamatan masih diteruskan terutamanya selepas penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

“Setakat ini lebih 20 individu telah dituduh di mahkamah mengikut pelbagai kesalahan berkaitan insiden pencerobohan itu,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...