Jumaat, 3 Mei 2013

#PRU13 #GE13: RISALAH KANDUNG GAMBAR AIBKAN PEMIMPIN DISIASAT


Kota Baharu, 2 Mei - Polis Kelantan sedang menyiasat kes penemuan risalah mengandungi gambar pemimpin yang mengaibkan di markas sebuah parti politik di Dabong, Kuala Krai semalam. 

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan Supt. Che Mahazan Che Aik berkata seorang lelaki berumur 51 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai pukul 1 petang semalam, mengenai penemuan beberapa keping risalah yang mengandungi gambar pemimpin yang mengaibkan itu. 

"Lelaki itu mendakwa risalah mengandungi gambar pemimpin itu dijumpai oleh anak lelakinya di markas tersebut sebelum diserahkan kepada beliau di rumahnya di Dabong," katanya kepada pemberita di pejabat IPK di sini hari ini. 

Beliau berkata pengadu membuat laporan polis kerana bimbang risalah tersebut akan menimbulkan kekacauan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad ini. 

Beliau berkata kertas siasatan telah dibuka dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...