Rabu, 1 Mei 2013

Tong gas, beras lesap


Tong gas, beras lesap
PONTIAN - Seorang peniaga makanan di gerai Pertubuhan Peladang Daerah Pontian, di sini, bengang kerana tidak dapat berniaga gara-gara lima tong gas dan tiga kampit beras miliknya lesap dicuri.

Yunus Md Said, 53, berkata, dia menyedari kejadian itu ketika hendak memulakan perniagaan, tengah hari semalam.
“Saya terkejut melihat barang bersepah di atas lantai, pada mulanya saya sangka ia perbuatan kucing atau  angin ribut.

“Tetapi, selepas melihat kesan jeriji besi yang dipotong, saya percaya ia adalah perbuatan pencuri. Saya terus membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang sudah berniaga di situ sejak 10 tahun lalu, berkata, kejadian kecurian tersebut adalah yang terbesar pernah dialaminya.

Menurutnya, sudah tiga kali gerainya dipecah masuk sejak mula berniaga di situ, tetapi kerugian yang dialami tidak banyak.

“Jika dulu hanya periuk belanga jadi sasaran pencuri, tetapi sekarang tong gas dan beras pun kena kebas,” katanya.

Yunus berkata, dia memohon pihak bertanggungjawab agar meningkatkan ciri keselamatan gerai di situ, bagi mengelakkan kejadian kecurian yang sama berulang.

Menurutnya, terdapat kira-kira 10 peniaga yang menjalankan perniagaan di gerai Pertubuhan Peladang itu, dan dia satu-satunya peniaga makanan.

“Saya amat berharap agar tahap keselamatan ditingkatkan, mungkin dengan mengupah pengawal keselamatan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...