Khamis, 2 Mei 2013

Warga Myanmar maut dipukul

mayat warga Myanmar
Keadaan mayat warga Myanmar yang ditemui di Kampung Bukit Sireh, Kuala Krai, semalam.

KUALA KRAI - Seorang buruh warga Myanmar berusia 46 tahun ditemui mati dengan kesan luka di kepala di Simpang Tiga Bukit Sireh, di sini, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, mangsa, Ayub Hussin ditemui tertiarap dalam parit di tepi jalan oleh orang awam pada jam 9 pagi.

Katanya, mayat mangsa seorang pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNCHR) itu ditemui masih memakai topi keledar dan lengkap berbaju lengan panjang serta seluar panjang.

“Ada kesan luka di kepala dan dadanya. Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh dengan cara dipukul di kepala dengan senjata kerana topi keledar dipakainya pecah.

“Sebuah motosikal ditemui berhampiran mayat. Siasatan yang dijalankan di lokasi kejadian juga menemui sebatang kayu dan sarung golok,” katanya pada sidang media di IPK di sini, semalam.

Yong Heng berkata, mangsa bekerja membaiki tangki air tidak jauh dari lokasi dia dibunuh dan mempunyai seorang isteri warga Myanmar serta tinggal di Jalan Guchil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. Setakat ini, belum ada tangkapan dan polis meminta saksi kejadian supaya tampil membantu kami,” katanya.

Sementara itu, seorang kenalan mangsa yang enggan dikenali berkata, Ayub sebelum itu singgah di sebuah warung roti canai di simpang tiga untuk bersarapan.

“Tidak sampai lima minit selepas dia keluar dari kedai berkenaan untuk ke tempat kerja, ada seseorang datang dan beritahu Ayub terbaring di tepi jalan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...