Jumaat, 14 Jun 2013

6 kedai serbaneka dirompak

KUCHING 13 Jun - Tiga kumpulan penjenayah dikatakan merompak enam kedai serbaneka di sekitar bandar raya ini dalam tempoh kurang 48 jam melibatkan kerugian keseluruhan sebanyak RM50,413.

Kejadian pertama berlaku pukul 4.30 pagi kelmarin di sebuah kedai serbaneka Jalan Tapang Kota Sentosa di sini melibatkan empat perompak bersenjata.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, dalam kejadian itu perompak tersebut melarikan wang tunai RM25,000 dengan menaiki kereta Perodua Kancil yang dipercayai dicuri pada hari yang sama.

"Kira-kira setengah jam kemudian sebuah lagi kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di Jalan Tun Jugah dirompak dengan jumlah kerugian sebanyak RM25,000.

"Dalam rompakan itu polis mengenal pasti suspek terlibat dengan bantuan CCTV (kamera litar tertutup) yang dipasang pemilik kedai serbaneka berkenaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mengulas lanjut, Roslan Bek memberitahu, pada pukul 5.50 pagi pihak polis menerima laporan kejadian rompakan kedai serbaneka di Plaza Tabuan melibatkan suspek yang sama dengan jumlah kerugian RM144.20.

Beliau berkata, kira-kira pukul 2 pagi semalam, dua lelaki bertopeng merompak sebuah kedai serbaneka di Jalan McDougall berdekatan Hotel Fata di sini.

Katanya, kedua-dua suspek rompakan tersebut menaiki motosikal dan mengugut pekerja kedai serbaneka itu menggunakan pisau sebelum melarikan wang tunai RM118.

"Setengah jam kemudian suspek yang sama merompak kedai serbaneka yang lain pula di Jalan Borneo dan mereka melarikan wang tunai sebanyak RM90.

"Dalam tempoh sama, kedai serbaneka di Jalan Carpenter turut dirompak oleh dua suspek bersenjatakan pisau dan melarikan wang tunai RM61 serta 14 kotak rokok," katanya.

Sehubungan itu, katanya, polis melancarkan gerakan memburu kesemua penjenayah berkenaan dan percaya tiga kumpulan berlainan terlibat dalam rompakan tersebut.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...