Jumaat, 14 Jun 2013

Guru rugi RM8.2j ditipu rakan

MELAKA 13 Jun - Gara-gara terlalu percayakan rakannya yang merupakan seorang pengurus unit di sebuah bank di sini, seorang guru sanggup melaburkan wang milik keluarganya berjumlah RM19.2 juta di bank berkenaan setelah dijanjikan pulangan yang tinggi.

Namun kepercayaan tersebut dikhianati rakannya yang kemudian 'menggelapkan' wang itu sehingga mangsa kerugian RM8.2 juta.

Segala-galanya bermula semasa mangsa berusia 47 tahun ditawarkan suspek kadar faedah yang tinggi sekiranya melabur dalam akaun simpanan tetap di bank berkenaan pada 2010.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Soh Hock Sing berkata, kerana percayakan suspek, mangsa menyerahkan wang milik keluarganya berjumlah RM19 juta.

Katanya, suspek namun tidak mengotakan janjinya untuk melaburkan wang tersebut di dalam akaun simpanan tetap sebaliknya memasukkan kesemua wang itu ke dalam satu akaun peribadi atas nama mangsa.

"Bagi mengaburi mangsa, suspek menyerahkan 81 resit palsu kononnya merupakan transaksi simpanan wang itu ke dalam satu akaun simpanan tetap.
"Penipuan suspek bagaimanapun terbongkar apabila mangsa membuat semakan di bank itu awal bulan ini dan mendapati namanya tidak wujud sebagai pemegang akaun manakala semua resit diberikan itu adalah palsu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini hari ini.

Menurut beliau, menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis pada 7 Jun lalu dan bertindak atas maklumat, polis telah menubuhkan pasukan khas seterusnya memberkas dua rakan suspek berusia 25 dan 45 tahun, Isnin lalu.

Katanya, siasatan mendapati sepanjang penipuan itu, suspek telah memindahkan wang berjumlah RM8.2 juta ke dalam tiga akaun milik rakan suspek secara berperingkat-peringkat setiap hari.

"Bertindak atas maklumat, pasukan khas polis yang ditubuhkan telah menyekat pengeluaran wang simpanan mangsa yang berbaki RM11 juta.

"Pasukan itu kini menyiasat kehilangan wang tersebut dan sedang mengesan dua lelaki iaitu Chua Ken Juan, 28, dari Bukit Baru dan Loh Kim Hsen, 25, dari Bukit Beruang.

"Turut diburu suspek yang baru tiga tahun berkhidmat di bank berkenaan yang kini telah menghilangkan diri sejak 4 Jun lalu," katanya.

Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...