Selasa, 11 Jun 2013

Dua beranak disamun


Dua beranak disamun
KULIM - Dua beranak nyaris maut apabila tiga lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang masuk ke rumah mereka di sebuah taman perumahan di sini kira-kira jam 8.45 malam kelmarin.

Ketua Polis daerah, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, ketika kejadian hanya mangsa yang merupakan pelajar lelaki berusia 17 tahun dan ibunya berada di rumah.

Menurutnya, mangsa dan ibunya terkejut apabila suspek masuk ke rumah dan mengugut mereka supaya jangan membuat bising sekiranya mahu selamat.

“Suspek meminta mangsa dan ibunya menyerahkan semua barangan berharga kepada mereka.

“Suspek juga turut mengambil kunci kereta jenis Perodua Kembara milik ibu mangsa sebelum melarikan diri dengan menggunakan kenderaan itu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

Polis meminta kepada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu untuk menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat (PPKM), Khor Eng Khim berkata, dia ada menerima maklumat mengenai kejadian itu dan memaklumkan kepada ahli PPKM untuk membuat pemantauan.

“Saya meminta semua ahli yang berada di sekitar Kulim untuk mengawasi kereta jenis Perodua Kembara merah yang dinaiki tiga suspek dan meminta ahlinya menahan kenderaan itu sekiranya ternampak.

“Selepas 10 minit saya membuat hebahan melalui alat perhubungan, seorang ahli PPKM yang berada di kawasan Keladi ternampak kereta suspek dan cuba mengekorinya.Kenderaan yang dicuri suspek kemudiannya memasuki jalan Sungai Lembu dan memasuki pekan Kulim sebelum menuju ke arah Kuala Ketil.

Ahli PPKM hanya menunggang motosikal bagaimanapun gagal untuk terus mengekori suspek.

Kira-kira jam 1.30 pagi ahli PPKM yang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar Dataran Putra dan Taman Selasih menemui semula kenderaan dinaiki suspek yang diletakkan di hadapan kedai dalam keadaan kereta itu kemek di bahagian kiri serta lampu hadapannya pecah. PPKM memaklumkan penemuan itu kepada polis untuk tindakan lanjut.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...