Rabu, 12 Jun 2013

8 dilantik anggotai pasukan khas siasat SOP dalam lokap


NONE
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hari ini mengumumkan pelantikan lapan anggota pasukan petugas khas bagi menyiasat Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam dua kes kematian semasa dalam tahanan polis.

Pengerusi Suruhanjaya, Datuk Helilah Mohd Yusof berkata pasukan petugas itu diketuai beliau serta Pesuruhjaya Suruhanjaya, Datuk Seri Jacob Ridu, manakala pengarah Bahagian Operasi, Ahmad Mohd Sidek bertindak sebagai setiausaha.

Beliau berkata tiga anggota lain terdiri daripada Pengarah Bahagian Dasar, Penyelidikan dan Inovasi, Foon Hui Yi; Penasihat Undang-undang, Eda Mazuin Abdul Rahman serta seorang Pegawai Penyiasat, Mohd Nadzri Ibrahim.

"Dua lagi ialah mantan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Jamil Johari dan mantan Presiden Majlis Peguam Malaysia, Lim Chee Wee. Mereka dilantik untuk memberi pandangan berdasarkan kepakaran dan kemahiran mereka," katanya dalam satu persidangan media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
NONE
Pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi menyiasat SOP dalam kes kematian N Dhamendran, 32, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPKL) Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas, dan R Jamesh, 40, di IPK Pulau Pinang pada 26 Mei lepas.

Helilah berkata pasukan itu akan menyiasat sistem di dalam lokap, dari awal seseorang itu ditahan sehingga selesai, untuk melihat faktor penyumbang sehingga boleh menyebabkan kematian di dalam lokap.

"Laporan yang kita buat adalah telus supaya masyarakat yakin dan mendapat gambaran sebenar mengenai apa sebenarnya yang berlaku," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyambut baik penubuhan jawatankuasa itu yang dapat membaiki perkhidmatan polis terhadap masyarakat.

"Saya percaya dapatan jawatankuasa ini kelak akan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha-usahanya untuk memperbaiki lagi Prosedur Operasi Standard (SOP) khususnya tentang keselamatan banduan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi. -Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...