Rabu, 12 Jun 2013

Lelaki tipu pegawai KWSP, beli MyVi hanya RM26

JOHOR BAHRU 11 Jun - Seorang pegawai penguat kuasa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendakwa ditipu seorang lelaki yang membeli keretanya jenis Perodua Myvi pada harga hanya RM26 setelah diperdaya dengan sekeping draf bank yang telah dipalsukan angkanya.

Mohd. Yunos Abu Bakar, 49, memberitahu, pada mulanya beliau ingin menjual kereta yang dibelinya pada 1996 itu kepada rakan-rakan terdekat dengan harga RM26,000 sebelum tersebar ke laman sosial.

Beliau kemudian menerima panggilan daripada suspek yang dikenali sebagai Rajan Mohamed berusia 40-an yang menyatakan keinginannya untuk membeli kereta tersebut.

"Dalam perbualan telefon, dia kata hendak beli kereta itu secara tunai, namun saya memintanya memasukkan wang tersebut ke dalam akaun bank atas faktor keselamatan.

"Pada 27 April lalu, dia datang ke rumah saya di Kampung Dato' Onn Jaafar di sini dan menyerahkan salinan draf bank berjumlah RM26,000 yang telah didepositkan ke dalam akaun saya," katanya kepada pemberita di Pejabat Timbalan Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Cawangan Johor Bahru, Michael Tay di sini hari ini.

Mohd, Yunos yang tidak berprasangka buruk kerana lelaki itu berperwatakan baik kemudian menyerahkan kereta bersama geran kepada suspek.

Bagaimanapun ujarnya, selang tiga hari kemudian pihak bank menghubunginya untuk pengesahan berhubung draf bank tersebut yang didapati mencurigakan.

"Saya cuba hubungi Rajan dan dia mengatakan pemandunya yang memasukkan wang tersebut dan berjanji akan memulangkan kereta itu semula kepada saya pada hari yang sama.

"Bagaimanapun, hingga malam saya tunggu dia langsung tidak datang dan panggilan ke telefonnya selepas itu hanya masuk ke dalam peti simpanan suara, ketika itu saya rasa telah ditipu," katanya.

Sehubungan itu, beliau telah membuat satu laporan berhubung kejadian tersebut di Balai Polis Nusajaya pada 1 Mei lalu. - UTUSAN ONLINE



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...