Rabu, 12 Jun 2013

Polis buru adik beradik anggota Geng Wan Kama

Gambar hiasan
BALIK PULAU 11 Jun - Polis memburu dua anggota kumpulan samun bersenjata yang dikenali sebagai Geng Wan Kama bagi membantu siasatan berhubung beberapa kes samun di sekitar Seberang Perai dan Kulim, Kedah.

Kedua-dua mereka yang merupakan adik beradik iaitu Mohd. Azly Elias, 30, dan Mohd. Azizi, 29, yang beralamat terakhir di Permatang Ara, Butterworth.

Sembilan anggota lain kumpulan itu yang berusia antara 17 hingga 47 tahun telah ditahan pada penghujung bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, siasatan mendapati kumpulan tersebut aktif sejak awal tahun ini membabitkan 12 kes samun.

"Modus operandi mereka adalah memecah masuk rumah atau pejabat sebelum menyamun mangsa dengan senjata seperti pistol tiruan atau parang," katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Hasil tangkapan kesemua suspek kata beliau, polis berjaya menjumpai sebahagian hasil samun yang dianggarkan bernilai RM120,000 antaranya barang kemas, telefon bimbit dan komputer riba.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dua suspek yang diburu diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan," katanya. - UTUSAN ONLINE
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...