Rabu, 26 Jun 2013

Lelaki Indonesia maut ditetak dalam pergaduhan

Gambar hiasan

ALOR GAJAH 25 Jun - Seorang lelaki warga Indonesia maut dalam keadaan tangan kirinya putus selepas ditetak dalam pergaduhan di sebuah rumah kongsi di Loji Air Gangsa, Durian Tunggal di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 10.45 malam itu, mangsa berasal dari Madura dan dikenali sebagai Saiful Rahman, 29, dipercayai diserang lebih daripada seorang suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, hasil pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai sejumlah senjata termasuk sabit, parang dan kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan itu.

"Setakat ini, polis telah mengesan tiga suspek lelaki berusia antara 25 hingga 35 tahun dan kini memburu mereka," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya tampil membantu. - UTUSAN ONLINE



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...