Selasa, 26 November 2013

Patuhi arahan polis demi keselamatan

Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Jamaluddin Abd Majid

KUANTAN - Peserta Kembara Setia Diraja Pahang dinasihatkan mematuhi arahan polis bagi mengelakkan sebarang masalah dan melancarkan perjalanan sepanjang konvoi berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Jamaluddin Abd Majid berkata, seramai 17 anggota polis akan mengawal keselamatan dan lalu lintas bersama peserta konvoi sepanjang lebih 1,200 kilometer perjalanan.

“Mereka akan terus mengiringi penunggang motosikal berkuasa besar di semua daerah yang dijelajahi di seluruh negeri dan dibantu di daerah jika diperlukan,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, katanya, tiada jalan yang ditutup bagi program itu tetapi kawalan polis memastikan lalu lintas lancar.

“Kita nasihatkan semua penunggang mengikut arahan yang ditetapkan dan pemandu lain juga perlu mematuhi arahan anggota trafik bagi melancarkan perjalanan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Kembara Setia Diraja Pahang, Halim Din berkata, semua peserta konvoi adalah mereka yang berpengalaman dan komited dengan keselamatan jalan raya.

Menurutnya, keutamaan diberikan kepada anak jati Pahang sesuai dengan program yang dilaksanakan.

“Mereka adalah penunggang profesional yang akan memandu motosikal berkuasa besar 500 cc dan ke atas. Kita sudah pun sedia untuk berkonvoi bagi mengumpul banyak tanda tangan rakyat Pahang,” katanya.

Program anjuran bersama Bikers Event Management dan Kerajaan Pahang itu diadakan sempena memuliakan ulang tahun Hari Keputeraan Sultan Pahang bertujuan menunjukkan taat setia rakyat.

Program lima hari yang bermula esok itu akan berakhir di sebuah hotel dengan persembahan ikrar taat setia yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan dan Pelancongan negeri, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...