Khamis, 12 Disember 2013

Lelaki Ditemui Mati Dengan Kecederaan Di Kepala

Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang lelaki tempatan ditemui mati dengan kesan kecederaan di kepala di rumahnya di Pangsapuri Sri Angkasa, Jalan Kanchung Darat 28/7, Seksyen 28 di sini Khamis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Zahedi Ayob berkata mangsa berumur lewat 20-an itu dipercayai dibunuh dan mati lebih daripada tiga hari berdasarkan keadaan mayat yang mengembung.
"Polis menerima laporan daripada jiran mangsa kira-kira 1 tengah hari Khamis berikutan tidak tahan bau busuk dari rumah berkenaan. Mangsa ditemui terbaring dengan hanya berseluar di dapur rumah itu.
"Siasatan awal mendapati mangsa disyaki mati akibat kecederaan di bahagian belakang kepalanya. Keadaan rumah didapati berselerak namun tiada kesan pecah masuk semasa pemeriksaan dilakukan," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati mangsa tinggal bersama tiga wanita dipercayai kakak, ibu dan seorang lagi yang tidak dapat dikenal pasti sama ada isteri atau teman wanitanya, namun ketiga-tiganya tiada di rumah ketika mayat dijumpai.
Zahedi berkata polis cuba menghubungi keluarga mangsa untuk siasatan lanjut.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kes bunuh.
Pemilik rumah berkenaan, Sarjit Kaur, 40, ketika ditemui berkata jiran menghubungi beliau supaya memeriksa rumahnya kerana bau busuk itu.
"Semasa saya tiba, pintu rumah tak kunci, jeriji sahaja yang berkunci. Semasa pintu dibuka, saya nampak dia terbaring dengan darah yang sudah kering. Saya terus hubungi polis," katanya.
Sarjit berkata mangsa yang dikenali sebagai Ashok menyewa rumahnya itu sejak setahun lepas dan kali terakhir berhubung kira-kira sebulan lalu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai kutipan sewa rumah.
Beliau menyifatkan mangsa sebagai seorang yang kuat agama dan rapat dengan keluarganya selain sentiasa membayar sewa tepat pada masanya. - BERNAMA
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...