Sabtu, 10 Mei 2014

Pengedar dadah sasar pelajar sekolah


MACHANG - Lima daripada 38 kes jenayah membabitkan pelajar sekolah di Kelantan sejak Januari hingga April lepas disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, kerana disyaki menjadi pengedar.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Assisten Komisioner Datuk Mazlan Lazim berkata dua kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

"Sementara tiga kes lagi disiasat di bawah Seksyen 39A Akta Dadah Berbahaya 1952 (hukuman maksimum penjara lima tahun dan sembilan kali sebatan, jika sabit kesalahan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan upacara penutup Latihan Tahunan Kor Kadet Polis Kontinjen Kelantan di Jeram Linang di sini hari ini.

Seramai 600 pelajar sekolah dari seluruh Kelantan menyertai latihan itu selama empat hari yang berakhir hari ini. Mazlan berkata kes jenayah lain termasuk curi motosikal, pecah rumah dan seksual.

Beliau berkata walaupun kadar jenayah di Kelantan semakin menurun berbanding 63 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas tetapi trend jenayah tahun ini semakin membimbangkan kerana ia membabitkan kes jenayah berat.

Katanya, kini pengedar dadah di negeri ini menjadikan pelajar sebagai sasaran utama untuk mengedar dadah khususnya pil kuda.

"Kegiatan itu sangat membimbangkan dan jika tidak dibendung segera dikuatiri akan merebak dan sukar diatasi," katanya.

Mazlan berkata polis akan memberi tumpuan lebih termasuk mengaktifkan semula kelab mencegah jenayah di setiap sekolah menengah dengan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa dan guru.

Terdahulu, ketika berucap Mazlan berkata penubuhan kor kadet polis di sekolah penting untuk melahirkan generasi muda yang berdisplin, semangat jati diri yang tinggi dan bertanggung jawab kepada agama, bangsa dan negara. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...