Ahad, 4 Mei 2014

Polis tembak mati tiga penjenayah di Johor

Gambar hiasan
JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan kumpulan samun di bandar raya ini selepas menembak mati tiga penjenayah dalam satu kejadian di persimpangan Jalan Taman Desa Tebrau dekat sini, malam tadi.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, dalam kejadian kira-kira 10.15 malam itu, polis rondaan yang bertindak atas maklumat orang awam, menemui sebuah kereta Toyota Vios dengan tiga lelaki dalam keadaan yang mencurigakan.
Semasa cuba mengekori kereta itu, polis ditembak oleh penumpang hadapannya yang dilihat memegang sepucuk pistol, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Berikutan itu, polis membalas tembakan yang mengena ketiga-tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 39 dan 41 tahun.
Dua daripada mereka mati di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail, katanya.
Polis yang memeriksa kereta itu, yang dilaporkan hilang di Teluk Intan, Perak, menemui sepucuk pistol jenis Browning berserta peluru dalam megazine dan sepucuk pistol jenis Colt .45 berserta peluru dalam megazine.
Mohd Bakri berkata, dua daripada tiga lelaki itu mempunyai sembilan rekod jenayah yang melibatkan kes samun di negeri ini.
Beliau berkata, polis turut menahan lapan lelaki berumur antara 26 dan 38 tahun serta merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk menyamun di beberapa lokasi berbeza dalam tempoh 24 jam selepas kejadian semalam.
Menurutnya kumpulan itu dipercayai aktif selama dua tahun dengan menyasarkan ahli perniagaan dan premis pertukaran wang asing serta mempunyai sembilan kes samun di Johor dan Pahang.
Kumpulan samun itu juga dipercayai terlibat dalam aktiviti kongsi gelap. - Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...