Rabu, 21 Mei 2014

TAHNIAH : ACP Wan Abdul Aziz kini Ketua Siasatan Jenayah Terengganu


KUALA TERENGGANU 16 Mei - Ketua Penolong Pengarah Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah, 56, dilantik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, berkuat kuasa semalam.

Beliau menggantikan Asisten Komisioner K. Manoharan yang akan mengambil alih jawatan yang dipegangnya di Bukit Aman.

Selain itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan Md. Tahir Kassim bertukar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dengan jawatan sama.

Tempat Md. Tahir kini diambil alih oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis,Supritendan, Fajarudin Agos.

Upacara penyerahan dan penerimaan tugas antara keempat-empat pegawai yang diadakan di IPK di sini turut disaksikan Ketua Polis negeri, Datuk Jamshah Mustapa. Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Hamzah Md. Jamil.

Ketika ditemui, Wan Abdul Aziz yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, buat masa ini beliau perlu menilai beberapa perkara sebelum melaksanakan beberapa perubahan mahupun rancangan bagi memperkukuhkan Jabatan Siasatan Jenayah.

"Mungkin ada perubahan tetapi kita akan kaji tindakan-tindakan yang bersesuaian untuk meningkatkan keberkesanan perkhidmatan.

"Harapan saya adalah untuk memastikan Jabatan Siasatan Jenayah mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai sekali gus mengekang jenayah di negeri ini," katanya.

Sementara itu, Jamshah berkata, kehadiran kedua-dua pegawai baharu itu diharap dapat membantu polis Terengganu meneruskan perkhidmatan yang cemerlang dalam membanteras jenayah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...