Khamis, 22 Mei 2014

TAHNIAH - SAZALI DIJULANG ATLET TERBAIK MALAYSIA


JAGOAN bina badan, Sazali Samad dan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2013 yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara malam tadi.

Sazali dijulang sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas kejayaannya meraih gelaran Mr. Universe untuk tahun kelima berturut-turut di Hungary pada November tahun lalu.

Ia merupakan anugerah Olahragawan Kebangsaan kali ketiga yang disandang Sazali selepas edisi 2000 dan 2006.

Lebih menarik, Sazali mengetepikan penerima Olahragawan Kebangsaan 2011 dan 2012 yang juga jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

“Walaupun saya sudah dapat dua kali tetapi hendak menang bukan mudah kerana nak lawan dengan pencapaian yang dilakukan Chong Wei juga bukan mudah.
“Calon yang tersenarai juga hebat-hebat belaka tetapi ia terpulang kepada juri yang membuat penilaian daripada pelbagai aspek.

“Anugerah ini sesuatu yang cukup bermakna dalam karier saya selama 27 tahun ini,” jelas Sazali.

Selain dinobat Olahragawan Kebangsaan, Sazali turut diumum sebagai penerima anugerah TM Team Malaysia (Atlet Popular) hasil pilihan peminat sukan tanah air.

Turut tercalon dalam senarai Olahragawati Kebangsaan 2013 ialah atlet wusyu, Diana Bong, Kelly Tan (golf) dan Casier Renee Kelly Lee (olahraga).

Selaku pemenang anugerah Olahragawan dan Olahragawati kali ini, Sazali dan Nicol membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 berserta trofi.

Majlis malam tadi meriah dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M. Saravanan.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jamil Salleh; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...