Khamis, 22 Mei 2014

TEMPOH 5 MINIT - RM165,000 DILARIKAN 4 SUSPEK


BESUT - Sekumpulan empat penjenayah bertopeng mengambil masa hanya lima minit untuk melarikan wang tunai RM165,000 selepas bertindak menarik keluar sebuah mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah bank dekat bandar Jertih di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 5.45 pagi hingga jam 6 pagi sebelum disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas meronda di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pengawal keselamatan terbabit mendapati sebuah mesin ATM berada di atas jalan depan bank tersebut, manakala pintu cermin ruang mesin ATM itu pecah berselerak.

“Hasil pemeriksaan kamera litar tertutup (cctv) mendapati, empat suspek menggunakan kereta Proton Waja dipercayai untuk menarik dan memecahkan mesin ATM itu sebelum melarikan wang tunai yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di tempat kejadian semalam.

Menurutnya, empat suspek bertopeng itu dipercayai menggunakan kabel untuk mengikat satu daripada empat mesin ATM sebelum menariknya keluar dan memecahkan mesin berkenaan dalam masa singkat.

Katanya, siasatan awal mendapati bank berkenaan tidak mempunyai pengawal keselamatan yang bertugas sepenuhnya pada waktu malam, dan hanya meronda di luar bank berkenaan selepas jam 5 petang.

“Ketika kejadian, pengawal keselamatan yang bertugas meronda di kawasan terbabit dikatakan sedang menunaikan solat Subuh di surau berhampiran.

“Sebaik pulang menunaikan solat pada jam 6 pagi, dia melihat kerosakan pada pintu cermin bank dan mesin ATM yang ditinggalkan di luar kawasan bank sebelum menghubungi pihak pengurusan bank yang kemudiannya menghubungi polis,” katanya.

Wan Abd Aziz berkata, pihaknya percaya rompakan itu dilakukan kumpulan profesional berdasarkan modus operandi yang digunakan kerana melakukannya dalam masa singkat.

Katanya, kejadian semalam adalah yang pertama berlaku di Terengganu pada tahun ini dan polis menubuhkan satu unit khas bagi membanteras kegiatan merompak dan melarikan mesin ATM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan usaha memburu empat suspek giat dijalankan.

Pihak polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...