Jumaat, 6 Jun 2014

KECUAIAN PEMANDU PUNCA KENDERAAN DICURI


BESUT - Polis menasihati pemilik kenderaan agar tidak meninggalkan kenderaan mereka dalam keadaan enjin tidak dimatikan dan pintu tidak berkunci.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kecuaian tersebut boleh menyebabkan kenderaan dicuri penjenayah.

Menurutnya, kejadian kereta Perodua Myvi dilarikan individu tidak dikenali pada Rabu minggu lalu menunjukkan penjenayah sentiasa mencari peluang berbuat demikian.

“Kejadian pertama membabitkan kejadian di Kampung Gaung apabila suspek yang datang dengan sebuah kereta lain telah melarikan kereta Myvi pertama, ketika pemiliknya sedang memunggah barang ke dalam kereta di pekarangan rumahnya.


“Pada pagi sama, sebuah lagi kereta model sama dilarikan suspek yang datang dengan motosikal ketika berhenti di tepi jalan dalam keadaan enjin dihidupkan di Kampung Padang Luas,” katanya.

Bagaimanapun katanya, hanya kereta pertama dijumpai semula di Pasir Putih, Kelantan pada hari sama selepas berlaku kejar mengejar, namun sejumlah wang tunai dan barang kemas di dalam kereta tersebut telah hilang.

Beliau turut menasihati pemilik kenderaan agar tidak meninggalkan anak kecil bersendirian atau barang berharga di dalam kereta kerana ia turut mengundang risiko.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...