Jumaat, 6 Jun 2014

Ops Cantas Khas Pasukan Polis Marin Sita 10 Kenderaan


TUMPAT - Sebanyak 10 kenderaan, termasuk lima kereta yang tangkinya diubahsuai untuk seludup petrol subsidi disita dalam operasi Ops Cantas Khas Pasukan Polis Marin (PPM) Pengkalan Kubor di pangkalan haram Pak Adek Simpangan, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 9 pagi itu, lima lelaki berusia 40 hingga 50 tahun turut ditahan.

Pegawai Pemerintahnya, Mohd Nawi Yunus berkata, cubaan menyeludup petrol gagal setelah anggota PPM menyerbu stor di pangkalan haram itu.

“Lima kereta jenis Proton Wira, Sunny dan Proton Saga yang diubahsuai tangkinya ditahan dalam stor terbabit bersama minyak petrol yang cuba diseludup ke negara jiran.

“Manakala lima lagi kenderaan jenis pacuan empat roda di kawasan luar berhampiran pengkalan itu,” katanya.

Menurutnya, semua tangki yang diubahsuai itu mampu mengisi 300 liter petrol setiap satu manakala pacuan empat roda itu menggunakan tangki asal kerana ia mampu mengisi petrol dalam kuantiti yang banyak sekitar RM200.

Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM150,000 termasuk kenderaan dan petrol berjumlah 1,500 liter, diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan.

Sementara itu, katanya, sepanjang Januari hingga Mei, PPM berjaya merampas pelbagai barangan yang cuba diseludup masuk dan keluar ke negara ini dianggarkan lebih RM1 juta.

“Nilai rampasan melibatkan 182 kes membabitkan kesalahan di bawah Akta Beras Negara, Kastam, Bekalan Negara, Perikanan, Haiwan, Dadah yang termaktub dalam undang-undang negara,” katanya.

Mengulas mengenai langkah KPDNKK yang mengehadkan penjualan petrol di setiap stesen minyak di sempadan Kelantan-Thailand kepada 600,000 liter sebulan, beliau menyambut baik langkah berkenaan.

“Ini langkah yang baik untuk mengawal aktiviti penyeludupan di sempadan,” katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...